Ahad, 18 Mac 2018

Kedah peroleh kemenangan pertama, Johor kecundang


 
ARKIB : 08/04/2009
Kedah peroleh kemenangan pertama, Johor kecundang
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusankedah@utusan.com.my
PEMAIN Singapore Armed Forces FC, Masahiro (kiri) mengelak asakan pemain Kashima Antlers, Osako Yuya pada satu lagi perlawanan kumpulan G Piala AFC di Singapura malam tadi. Kashima Antlers menang 4-1. – AFP

ALOR SETAR – Kedah berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) selepas menundukkan Eastern Athletic daripada Hong Kong 2-0 di Stadium Darulaman malam tadi.

Pertemuan malam tadi merupakan perlawanan ketiga Kedah bagi Kumpulan G di kejohanan tersebut.

Pasukan tuan rumah yang membariskan pemain berpengalaman ternyata ampuh mengatur serangan ke arah kubu lawan.

Kedah hampir memperoleh gol awal pada minit ketiga menerusi percubaan Shafizan Hashim, namun ia berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Eastern Athletic, Yapp Hung Fai.

Seminit selepas itu, lawan pula mendapat sepakan percuma dan disempurnakan oleh Yeung Ching Kwong, tetapi percubaan tersebut tersasar ke tepi gawang Kedah.

Berbekalkan misi memburu tiga mata penuh, Kedah terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-27.

Jaringan pembukaan itu hadir menerusi tandukan Farizal Rozali yang menerima sepakan sudut Badrol Bakhtiar.

Perlawanan yang terus mempamerkan keseimbangan selepas itu tidak menghalang Eastern Athletic untuk mengatur serangan balas.

Kubu pasukan Kedah yang menerima cubaan penyerang lawan turut cemas seketika sebelum pertahanannya kembali mengalih bola ke kawasan lain.

Kelebihan beraksi di tempat sendiri juga menjadi perangsang kepada pemain tuan rumah untuk menggandakan kedudukan.

Jaringan kemenangan pasukan Kedah muncul menerusi Mohd. Azrul Ahmad pada minit ke- 77 selepas dia menerima hantaran Farizal.

Permainan yang semakin rancak selepas itu bagaimanapun gagal mengubah kedudukan yang memihak kepada pasukan Kedah.

Dalam pada itu di Singapura, pada satu lagi perlawanan Kumpulan G, Singapore Armed Forces dibenam Kashima Antlers, 4-1.

Sementara itu, satu lagi pasukan negara yang beraksi di kejohanan tersebut, Johor FC tumpas 0-2 kepada kelab Hong Kong, South China.

Beraksi di Stadium Mongkok, Hong Kong dan mendapat sokongan penuh penyokong setia, South China memperoleh gol awal menerusi Man Pek Pei pada minit ke-15 sementara gol kedua disumbangkan oleh Caca.

Johor FC yang beraksi dalam Kumpulan F hanya berjaya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan, manakala South China mendahului kumpulan tersebut dengan sembilan mata.

Bagaimanapun, Johor turut memberikan tentangan sengit namun dua peluang disia-siakan untuk menyamakan kedudukan.

Tiga minit selepas gol kedua South China, Azuwad Arip yang dibiarkan sendiri di kawasan lawan berjaya melepasi penjaga gol, Zhang Chunhui, namun sepakannya tersasar melepasi palang.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A9GhnYuq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 19 Januari 2018

Johor FC, VB Sports sama hebat

ARKIB : 11/03/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC membuka kempen bola sepak Piala AFC dengan aksi hambar apabila sekadar diikat tanpa jaringan dengan kelab Maldives, VB Sports dalam perlawanan Kumpulan F di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Penguasaan ternyata menyebelahi tuan rumah yang layak ke kejohanan anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) itu atas tiket pasukan ketiga Liga Super musim 2007-2008, namun gagal menemui sebarang penyudahan.

Malah, kelab bimbingan Ramlan Rashid itu nyaris melepaskan gol seawal minit pertama menerusi tandukan pemain import lawan yang juga bekas bek Barcelona, Samuel Gbenga Okunowo biarpun berjaya dikeluarkan oleh Mohd. Riduwan Ma'on.

Tersentak dengan asakan tersebut, Sang Lebah kembali mengatur asakan dan hampir mendahului melalui rembatan kencang Mohd. Riduwan pada minit ke-15 namun berjaya didakap kemas oleh penjaga gol lawan, Mohamed Shinan.

Sekali lagi kecuaian dan kerapuhan barisan belakang tuan rumah terdedah menerusi salah seorang pemainnya, Madzlan Emoi hingga hampir dihukum pada minit ke-55 oleh Abu Desmond Monsaray namun sepakan kencangnya tersasar.

VB Sports bertambah kecewa beberapa minit kemudian apabila Adam Lareef gagal memanfaatkan satu peluang keemasan menerusi satu percubaannya yang berjaya ditampan penjaga gol Johor FC, Mohd. Anis Faron Arsidi.

Cubaan Sang Lebah untuk mengutip tiga mata juga tidak kesampaian apabila pemain gantiannya, Mohammad Ezaidy Khadar masih sedikit tersasar.

Namun, jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid tetap menyifatkan keputusan seri tanpa jaringan sebagai memberangsangkan, malah mampu memberikan inspirasi kepada anak buahnya untuk mengharungi perlawanan akan datang kumpulan ini.

"Saya berharap pemain akan memanfaatkan pengalaman pada perlawanan antarabangsa ini untuk meningkatkan keyakinan mereka apabila kembali bersaing dalam Liga Malaysia," katanya.

Jurulatih VB Sports, Kis Laszlo pula berbangga dengan kemampuan anak buahnya meskipun sekadar membawa pulang satu mata kerana mereka berjaya menyerap asakan Johor FC yang sentiasa mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

"Saya yakin pasukan VB Sports akan menjadi pasukan yang berbeza apabila bermain di tempat kami," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz54g8CMVCV

© Utusan Melayu (M) Bhd