Jumaat, 19 Januari 2018

Johor FC, VB Sports sama hebat

ARKIB : 11/03/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC membuka kempen bola sepak Piala AFC dengan aksi hambar apabila sekadar diikat tanpa jaringan dengan kelab Maldives, VB Sports dalam perlawanan Kumpulan F di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Penguasaan ternyata menyebelahi tuan rumah yang layak ke kejohanan anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) itu atas tiket pasukan ketiga Liga Super musim 2007-2008, namun gagal menemui sebarang penyudahan.

Malah, kelab bimbingan Ramlan Rashid itu nyaris melepaskan gol seawal minit pertama menerusi tandukan pemain import lawan yang juga bekas bek Barcelona, Samuel Gbenga Okunowo biarpun berjaya dikeluarkan oleh Mohd. Riduwan Ma'on.

Tersentak dengan asakan tersebut, Sang Lebah kembali mengatur asakan dan hampir mendahului melalui rembatan kencang Mohd. Riduwan pada minit ke-15 namun berjaya didakap kemas oleh penjaga gol lawan, Mohamed Shinan.

Sekali lagi kecuaian dan kerapuhan barisan belakang tuan rumah terdedah menerusi salah seorang pemainnya, Madzlan Emoi hingga hampir dihukum pada minit ke-55 oleh Abu Desmond Monsaray namun sepakan kencangnya tersasar.

VB Sports bertambah kecewa beberapa minit kemudian apabila Adam Lareef gagal memanfaatkan satu peluang keemasan menerusi satu percubaannya yang berjaya ditampan penjaga gol Johor FC, Mohd. Anis Faron Arsidi.

Cubaan Sang Lebah untuk mengutip tiga mata juga tidak kesampaian apabila pemain gantiannya, Mohammad Ezaidy Khadar masih sedikit tersasar.

Namun, jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid tetap menyifatkan keputusan seri tanpa jaringan sebagai memberangsangkan, malah mampu memberikan inspirasi kepada anak buahnya untuk mengharungi perlawanan akan datang kumpulan ini.

"Saya berharap pemain akan memanfaatkan pengalaman pada perlawanan antarabangsa ini untuk meningkatkan keyakinan mereka apabila kembali bersaing dalam Liga Malaysia," katanya.

Jurulatih VB Sports, Kis Laszlo pula berbangga dengan kemampuan anak buahnya meskipun sekadar membawa pulang satu mata kerana mereka berjaya menyerap asakan Johor FC yang sentiasa mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

"Saya yakin pasukan VB Sports akan menjadi pasukan yang berbeza apabila bermain di tempat kami," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz54g8CMVCV

© Utusan Melayu (M) Bhd