ARKIB : 08/04/2009
Kedah peroleh kemenangan pertama,
Johor kecundang
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusankedah@utusan.com.my
PEMAIN Singapore Armed Forces FC,
Masahiro (kiri) mengelak asakan pemain Kashima Antlers, Osako Yuya pada satu
lagi perlawanan kumpulan G Piala AFC di Singapura malam tadi. Kashima Antlers
menang 4-1. AFP
ALOR SETAR Kedah berjaya
memperoleh kemenangan pertama dalam saingan Piala Konfederasi Asia (AFC)
selepas menundukkan Eastern Athletic daripada Hong Kong 2-0 di Stadium
Darulaman malam tadi.
Pertemuan malam tadi merupakan
perlawanan ketiga Kedah bagi Kumpulan G di kejohanan tersebut.
Pasukan tuan rumah yang
membariskan pemain berpengalaman ternyata ampuh mengatur serangan ke arah kubu
lawan.
Kedah hampir memperoleh gol awal
pada minit ketiga menerusi percubaan Shafizan Hashim, namun ia berjaya
ditangkap kemas oleh penjaga gol Eastern Athletic, Yapp Hung Fai.
Seminit selepas itu, lawan pula
mendapat sepakan percuma dan disempurnakan oleh Yeung Ching Kwong, tetapi
percubaan tersebut tersasar ke tepi gawang Kedah.
Berbekalkan misi memburu tiga
mata penuh, Kedah terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-27.
Jaringan pembukaan itu hadir
menerusi tandukan Farizal Rozali yang menerima sepakan sudut Badrol Bakhtiar.
Perlawanan yang terus mempamerkan
keseimbangan selepas itu tidak menghalang Eastern Athletic untuk mengatur
serangan balas.
Kubu pasukan Kedah yang menerima
cubaan penyerang lawan turut cemas seketika sebelum pertahanannya kembali
mengalih bola ke kawasan lain.
Kelebihan beraksi di tempat
sendiri juga menjadi perangsang kepada pemain tuan rumah untuk menggandakan
kedudukan.
Jaringan kemenangan pasukan Kedah
muncul menerusi Mohd. Azrul Ahmad pada minit ke- 77 selepas dia menerima
hantaran Farizal.
Permainan yang semakin rancak
selepas itu bagaimanapun gagal mengubah kedudukan yang memihak kepada pasukan
Kedah.
Dalam pada itu di Singapura, pada
satu lagi perlawanan Kumpulan G, Singapore Armed Forces dibenam Kashima
Antlers, 4-1.
Sementara itu, satu lagi pasukan
negara yang beraksi di kejohanan tersebut, Johor FC tumpas 0-2 kepada kelab
Hong Kong, South China.
Beraksi di Stadium Mongkok, Hong
Kong dan mendapat sokongan penuh penyokong setia, South China memperoleh gol
awal menerusi Man Pek Pei pada minit ke-15 sementara gol kedua disumbangkan
oleh Caca.
Johor FC yang beraksi dalam
Kumpulan F hanya berjaya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan, manakala
South China mendahului kumpulan tersebut dengan sembilan mata.
Bagaimanapun, Johor turut
memberikan tentangan sengit namun dua peluang disia-siakan untuk menyamakan
kedudukan.
Tiga minit selepas gol kedua
South China, Azuwad Arip yang dibiarkan sendiri di kawasan lawan berjaya
melepasi penjaga gol, Zhang Chunhui, namun sepakannya tersasar melepasi palang.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A9GhnYuq
© Utusan Melayu (M) Bhd