Rabu, 19 April 2017

Tiga mata akan legakan Sathia

BERNAMA
Maran: Ketiadaan lima pemain utama termasuk ketua pasukan, Shukor Adan bukan alasan untuk Felda United tidak meraih tiga mata apabila menentang Tampines Rovers di halaman sendiri dalam saingan Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), esok.
Pengendali Felda United, B Sathianathan berkata kemenangan yang diidamkan itu perlu dijelmakan bagi memastikan skuad The Fighters mampu mengorak langkah lebih jauh dalam kejohanan itu.
"Apa yang kita mahu ialah mencatat kemenangan dan mendapat tiga mata. Ini kerana kita sekarang berada di tangga kedua dan berpeluang memperbaiki kedudukan dan mara lebih jauh," katanya pada sidang media di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, hari ini.
Menurutnya lima pemain utama yang cedera berkemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi menjelaskan skuad itu mempunyai barisan simpanan berkualiti. Selain Shukor, empat pemain lain adalah Syahid Zaidon, Mootaz Jounaidi, Stewart Wark dan Wan Amirul Afiq.
Pada masa sama, Sathianathan mengharapkan sokongan penyokong terutama warga Felda kerana ia mampu meningkatkan moral dan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang.
Pengendali Tampines Rovers, Jurgen Raab berkata pasukannya tiada pilihan selain memastikan kemenangan kerana kekalahan kepada tuan rumah akan mengakibatkan mereka tersingkir daripada saingan Piala AFC musim ini. "Kami hanya memiliki tiga mata dan menghuni tangga tercorot.
Ini ialah aksi penentuan dan kami mahukan kemenangan.
"Kejayaan menewaskan Felda United di tempat mereka pastinya memberi kelegaan kepada kami," katanya.
Felda United kini berada di tangga kedua dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan manakala Tampines Rovers menghuni kedudukan terakhir dengan tiga mata.
Perlawanan malam esok adalah kali pertama dilangsungkan di STAR selepas rayuan Felda United untuk beraksi di gelanggang sendiri diterima AFC.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 5:15 PM

Isnin, 17 April 2017

NS tewas

ARKIB : 08/04/2004
NEGERI SEMBILAN mencatat kekalahan kedua dalam aksi Kumpulan E bola sepak Piala AFC selepas tumpas 1-0 kepada Geylang United di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Anek Sander menjaringkan gol kemenangan Geylang United pada minit kesepuluh untuk kelab dari Singapura itu memintas Negeri Sembilan di tangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan.
Negeri Sembilan hanya mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Island FC dari Maldives.

Perak sekadar seri

ARKIB : 07/04/2004
PERAK dan Home United dari Singapura seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan D Piala AFC di Stadium Perak, semalam.
Gol-gol Perak dihasilkan oleh penyerang Khalid Jamlus pada minit ke-56 dan Frank Seator pada minit ke-77.
Perak kini menduduki tangga kedua di belakang Home United yang memiliki kelebihan jumlah gol. Kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata selepas tiga kali bermain.
Pasukan pelawat mendapat jaringan menerusi Egmar Goncalves pada minit kedua dan Sutee Suksomkit pada minit ke-18th.
Sementara itu di Tokyo, penyerang dari Brazil, Rodrigo Gral menyumbat gol kemenangan Jubilo Iwata pada minit ke-81 untuk membantu pasukannya menewaskan Shanghai Shenhua 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.
Gral membuat jaringan bermakna buat pasukannya selepas mendapat hantaran cantik hasil gerakan kemas rakannya, Toshiya Fujita dan Takashi Fukunishi.
Kelab berkenaan mengumpul sembilan mata dalam Kumpulan E manakala Shenhua yang dilatih oleh bekas pengurus Leeds United Howard Wilkinson mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
Jubilo ketinggalan apabila Zhang Yuning menyumbat gol seawal minit kelapan di Stadium Yamaha tetapi pemain berusia 19 tahun Sho Naruoka menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Kemenangan tersebut menyaksikan Jubilo menjadi skuad pilihan untuk mara ke suku akhir.
Kedua-dua pasukan akan beraksi semula di Shanghai pada 22 April ini

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4eWTPvpwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 7 April 2017

MPPJ jadi perintis kelab - AFC



ARKIB : 07/10/2003
GABUNGAN Bola Sepak Asia (AFC) mahu kejayaan MPPJ muncul juara Piala Malaysia dijadikan sebagai perintis kepada penubuhan lebih banyak kelab di Malaysia.

Setiausaha Agung AFC, Peter Vellapan berkata, kejayaan MPPJ itu tidak perlu dipandang negatif kerana untuk bola sepak berkembang di negara ini, soal kenegerian perlu diketepikan.

``Tahniah kepada MPPJ dan saya berharap ia akan memecah tradisi untuk kelab seperti itu memainkan lebih besar dalam pembangunan bola sepak di Malaysia.

``Kelab adalah asas utama bola sepak di seluruh dunia dan tiba masanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membantu persatuan bolasepak negeri mewujudkan kelab seperti MPPJ, Public Bank dan Johor FC,'' ujarnya.

Musim lalu, Johor FC beraksi dalam Liga Perdana Satu manakala MPPJ dan Public Bank dalam Perdana Dua.

Bagaimanapun kejayaan MPPJ menewaskan Sabah 3-0 dalam perlawanan akhir menerusi jaringan hatrick Juan Manuel Arostegui kelmarin, telah membuka lembaran baru yang boleh dianggap positif demi pembangunan bola sepak negara.

Menurut Vellapan, selain menjadi kelab pertama muncul juara Piala Malaysia, MPPJ di bawah bimbingan Dollah Salleh telah membuktikan sebuah kelab mampu menyaingi pasukan negeri yang selama ini menjadi nadi kepada kerancakan Liga Malaysia.

Malangnya kata beliau, hanya beberapa tahun sebelum ini sahaja kelab dibenarkan bertanding sedangkan ia sepatutnya dilakukan dari dulu lagi.

``Sumbangan persatuan negeri memang kita hargai tetapi mereka sepatutnya memainkan lebih peranan dalam mewujudkan lebih banyak kelab di tempat masing-masing.

``Mereka perlu turun ke kampung, estet dan sekolah untuk mengadakan lebih banyak aktiviti ke arah penubuhan kelab ini,'' tegasnya.

Sebagai cadangan awal, Vellapan berkata, FAM boleh bekerjasama dengan persatuan negeri menggalakkan satu atau dua kelab dari setiap negeri menyertai liga bola sepak negara ini.

``Kelab boleh menarik minat penaja manakala penyokong akan menjadi lebih ramai dan kuat berdasarkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi,'' tegasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dcgTbisW
© Utusan Melayu (M) Bhd