Jumaat, 7 April 2017

MPPJ jadi perintis kelab - AFC



ARKIB : 07/10/2003
GABUNGAN Bola Sepak Asia (AFC) mahu kejayaan MPPJ muncul juara Piala Malaysia dijadikan sebagai perintis kepada penubuhan lebih banyak kelab di Malaysia.

Setiausaha Agung AFC, Peter Vellapan berkata, kejayaan MPPJ itu tidak perlu dipandang negatif kerana untuk bola sepak berkembang di negara ini, soal kenegerian perlu diketepikan.

``Tahniah kepada MPPJ dan saya berharap ia akan memecah tradisi untuk kelab seperti itu memainkan lebih besar dalam pembangunan bola sepak di Malaysia.

``Kelab adalah asas utama bola sepak di seluruh dunia dan tiba masanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membantu persatuan bolasepak negeri mewujudkan kelab seperti MPPJ, Public Bank dan Johor FC,'' ujarnya.

Musim lalu, Johor FC beraksi dalam Liga Perdana Satu manakala MPPJ dan Public Bank dalam Perdana Dua.

Bagaimanapun kejayaan MPPJ menewaskan Sabah 3-0 dalam perlawanan akhir menerusi jaringan hatrick Juan Manuel Arostegui kelmarin, telah membuka lembaran baru yang boleh dianggap positif demi pembangunan bola sepak negara.

Menurut Vellapan, selain menjadi kelab pertama muncul juara Piala Malaysia, MPPJ di bawah bimbingan Dollah Salleh telah membuktikan sebuah kelab mampu menyaingi pasukan negeri yang selama ini menjadi nadi kepada kerancakan Liga Malaysia.

Malangnya kata beliau, hanya beberapa tahun sebelum ini sahaja kelab dibenarkan bertanding sedangkan ia sepatutnya dilakukan dari dulu lagi.

``Sumbangan persatuan negeri memang kita hargai tetapi mereka sepatutnya memainkan lebih peranan dalam mewujudkan lebih banyak kelab di tempat masing-masing.

``Mereka perlu turun ke kampung, estet dan sekolah untuk mengadakan lebih banyak aktiviti ke arah penubuhan kelab ini,'' tegasnya.

Sebagai cadangan awal, Vellapan berkata, FAM boleh bekerjasama dengan persatuan negeri menggalakkan satu atau dua kelab dari setiap negeri menyertai liga bola sepak negara ini.

``Kelab boleh menarik minat penaja manakala penyokong akan menjadi lebih ramai dan kuat berdasarkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi,'' tegasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dcgTbisW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan