Khamis, 23 Mac 2017

Ketiadaan wakil Malaysia ke Liga Juara-Juara Asia - Kekalahan teruk antara sebab



 ARKIB : 05/07/2002

KETIADAAN wakil dari Malaysia pada edisi sulung Kejohanan Liga Juara-Juara Asia tidak wajar dikaitkan dengan dakwaan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengendahkan usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akhbar Khan berkata, ini kerana tiada pasukan negeri yang berminat untuk menyertai kejohanan itu selepas dipelawa pihaknya.

``Kita sudah pun mengemukakan tawaran untuk menyertai kejohanan itu pada pasukan negeri dan mereka yang menolak.

``Lagi pun keputusan untuk tidak turut serta dalam kejohanan kali ini diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor lain,'' tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, antara faktor tersebut ialah pencapaian buruk wakil negara dalam kejohanan itu sebelum ini seperti kekalahan besar yang dialami Sarawak dan Selangor kepada lawan dari Jepun dan China.

Katanya, Malaysia perlu menilai kemampuan diri sebelum bersaing dan bukan hanya menyertai kejohanan itu semata-mata untuk melengkapkan jumlah pasukan yang bertanding.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha menyertai kejohanan itu tahun depan, FAM mulai tahun ini kembali membenarkan khidmat pemain import digunakan dalam Liga Malaysia bagi meningkatkan mutu persembahan pasukan.

``Insya-Allah dengan persembahan lebih memberansangkan hasil kehadiran pemain-pemain import ini, kita pastinya mampu menyaksikan terhasilnya pasukan lebih berkemampuan yang layak bertanding di kejohanan itu tahun depan,'' katanya Dell.

Selain itu tegasnya, FAM tidak pernah menjadikan kesibukan pertandingan-pertandingan tempatan sebagai penghalang penyertaan untuk Liga Juara-Juara Asia tahun ini.

Malah FAM sentiasa bersedia membuat perubahan kepada jadual pertandingan untuk memberi laluan kepada penyertaan di peringkat lebih tinggi seperti mana yang telah dilakukan sebelum ini.

``Cuma kali ini, FAM terpaksa membuat keputusan terhadap penyertaan ini berdasarkan kepada maklumat terhad yang dimiliki,'' jelasnya.

Antaranya termasuk daripada aspek kewangan dengan rata-rata pasukan negeri tidak berupaya untuk turut serta berasaskan kepada belanjawan tahunan yang ketat.

Beliau berkata, di peringkat awal, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hanya memperuntukkan subsidi sebanyak AS$2,500 untuk pasukan yang bertanding tetapi ia ternyata tidak mencukupi untuk menampung kos penyertaan seperti tiket penerbangan dan penginapan.

``Selain itu, pasukan negeri juga perlu bertanggungjawab terhadap kos penginapan dan pengangkutan pasukan lawan yang datang ke tempat mereka,'' tambahnya.

Bagaimanapun katanya, FAM tidak pernah dengan sengaja melarikan diri daripada membabitkan diri dengan usaha-usaha untuk mendedahkan pasukan dan pemain kepada saingan bertaraf antarabangsa yang akan menguntungkan bola sepak negara

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cDcJY37J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan