Khamis, 30 November 2017

Selangor kempunan lagi

ARKIB : 29/08/2008
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan ternyata lebih berhak ke Piala AFC 2009 sebagai wakil kedua negara selepas Kedah yang membolot tiga gelaran Liga Malaysia musim ini sekiranya berpandukan Peraturan Pertandingan kejohanan itu bagi 2008 yang kali terakhir dikemaskinikan, 23 Disember tahun lalu.

Malah, perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad, semalam yang merujuk Seksyen 3: Pasukan Yang Menyertai - Perkara 24 (Pasukan Yang Layak) peraturan yang digubal Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) itu.

Beliau bagaimanapun tidak tahu-menahu mengenai apakah ada mana-mana pegawai FAM pernah memaklumkan Selangor yang kempunan Piala Malaysia kepada Kedah, Sabtu lalu, telah layak ke Piala AFC 2009 menerusi status naib juara Piala FA, Jun lalu.

Ceraian (b) perkara itu menyebut, "jika juara liga kebangsaan dan juara pertandingan kalah mati merupakan pasukan yang sama, maka naib juara liga musim berkenaan dengan pengesahan Jawatankuasa Pertandingan, layak bermain dalam pertandingan ini (Piala AFC)."

Justeru Negeri Sembilan selaku naib juara Liga Super musim 2007-2008 yang berakhir Mei lalu, akan mengulangi penyertaan dalam Piala AFC yang juga persaingan bahagian dua kelab Asia selepas Liga Juara-juara Asia (ACL) seperti 2007 di mana Si Rusa terkandas dan hanya muncul naib juara Kumpulan D.

Utusan Malaysia semalam melaporkan dakwaan pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim mengenai status kelayakan pasukan kedua negara ke Piala AFC 2009 yang dikatakan mulanya dimiliki Gergasi Merah sebagai naib juara Piala FA, Jun lalu setelah dikalahkan Kedah 3-2.

Dia mempertikaikan berdasarkan penyertaan Kedah dan Perak pada Piala AFC 2008 setelah naib juara Piala FA tahun lalu, Perlis yang sepatutnya layak, menarik diri sekali gus melepaskan hak itu kepada skuad Seladang.

Bagaimanapun, Selangor masih mampu ke Piala AFC 2009 jika jawatankuasa pertandingan AFC memutuskan pindaan terbaru pada syarat penyertaan pasukannya selain sekiranya Kedah yang bakal menentang Al Muharraq (Bahrain) dalam suku akhir bulan depan, menjulang trofi berkenaan.

Ceraian (d) Perkara 24 Peraturan Pertandingan Piala AFC turut menyebut, "Sekiranya juara bertahan Piala AFC sama seperti juara liga kebangsaan dan pertandingan kalah mati, maka naib juara kedua-dua pertandingan itu layak mengambil bahagian."

Sebagai rekod Selangor juga pernah ke Piala AFC 2006 selepas membolot Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana, setahun sebelumnya namun sekadar singgah ke suku akhir setelah kalah kepada sebuah pasukan yang terjejas akibat serangan Israel, Al Nejmeh dari Lebanon.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4zwlv83pm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor atau Negeri Sembilan?

ARKIB : 28/08/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Kejaguhan Kedah membolot gelaran Liga Super dan Piala FA dua musim berturut- turut sudah menjamin tempatnya dalam Piala Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 2009 tetapi posisi wakil kedua Malaysia ke persaingan kelab bahagian dua Asia itu masih terawang-awang di antara Selangor dengan Negeri Sembilan.

Ia masih membingungkan pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang mendakwa pernah diberitahu seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa Gergasi Merah layak ke Piala AFC di samping Kedah dengan tiket selaku naib juara Piala FA, Jun lalu.

"Alih-alih beberapa minggu kemudian, kami diberitahu FAM bahawa Negeri Sembilan yang lebih layak ke Piala AFC 2009 selaku naib juara Liga Super musim ini setelah kuota pertama bagi juaranya turut dikuasai Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Zakaria, setahunya penyertaan ke Piala AFC hanya terbuka kepada juara liga dan juara persaingan kalah mati di sesebuah negara Asia dan jika kedua-duanya dibolot oleh sebuah pasukan, naib juaranya yang akan mengisi baki slot tersebut.

"Saya juga mempertahankan hak kelayakan Selangor itu jika berdasarkan penyertaan Piala AFC tahun ini yang menurut susunan Kedah selaku juara Liga Super 2006-2007 dan Perak, naib juara Liga Super musim itu. Apa pula kriteria kelayakan Negeri Sembilan?" tegas pengurus pasukan sepenuh masa pertama di Malaysia itu.

Kata Zakaria yang menyandang jawatan itu sejak Piala Malaysia, Jun lalu, Perlis - naib juara Piala FA musim tersebut (tewas kepada Kedah) sepatutnya lebih layak ke Piala AFC tahun ini tetapi dikatakan telah menarik diri lalu slot kedua itu diberikan kepada Perak.

Skuad Kenari dan Seladang akan menentang Al Muharraq Bahrain dan Safa SC Lebanon masing-masing dalam suku akhir Piala AFC 2008 pada 16 hingga 23 September ini (timbal balik) yang turut berlangsung dalam bulan Ramadan.

Ia tampak seolah-olah slot kedua pasukan Malaysia ke Piala AFC 2009 diberikan menurut keutamaan persaingan iaitu naib juara Liga Super, Negeri Sembilan dianggap lebih layak daripada naib juara Piala FA apabila dua gelarannya terikat milik Kedah.

Bagaimanapun hak penyertaan mutlak sebarang pasukan Piala AFC sebenarnya masih terserah kepada jawatankuasa pertandingan badan induk benua yang berpangkalan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dan FAM selaku ahli gabungan, pasti akan menurutnya sahaja.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4zwknm7Ad

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Piala AFC: Kedah, Perak cemerlang



ARKIB : 12/03/2008

KUALA LUMPUR – Kedah dan Perak memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan cemerlang apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Perak mencatat kemenangan selesa 3-1 atas kelab Maldives, New Radiant, yang bermain dengan sepuluh pemain dalam Kumpulan C di tempat lawan.

Manakala juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah mengutip tiga mata penuh apabila menumpaskan wakil Maldives, Victory SC 1-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Darulaman, Alor Star.

Di Maldives, Perak ketinggalan menerusi jaringan Daniel Mbock pada minit ketujuh namun bangkit dengan jaringan penyamaan Carlos Caceres seminit kemudian.

Tuan rumah terpaksa beraksi di sepanjang babak kedua dengan 10 pemain apabila Mohamed Shifan dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-34.

Tiga minit kemudian Khalid Jamlus meletakan Perak 2-1 di depan hasil kesilapan Ibrahim Amil dengan rembatan deras.

Di Alor Star, kemenangan Kedah menjelma pada minit ke-48 menerusi Fauzi Shaari.

Kedah, juara tiga piala musim lalu memulakan perlawanan dengan berhati-hati, selepas tewas 0-2 pada pusingan pertama Piala FA di tangan PKNS Selangor.

Penyerang Marlon Alex James, yang menjaringkan 18 gol dalam Liga Super dikawal ketat pertahanan pelawat sehingga sukar melakukan percubaan.

Merembat

Namun Kedah masih dapat melancarkan beberapa peluang gol pada minit ke-14 menerusi pemain tengah Shafiq Jamal yang merembat deras namun berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Imran Mohamed.

Tiga minit sebelum rehat, Kedah di depan apabila Fauzi Shaari menyambar hantaran silang Badrol Bakhtiar dengan rembatan deras ke gawang.

Jaringan tersebut memaksa pelawat menukar corak permainan untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng Kedah kental bertahan mengelak gol dibolosi.

Perlawanan menjadi semakin tegang menyebab empat pemain Kedah dilayangkan kad kuning, manakala jurulatih Mohd Azari Khor turut diarah meninggalkan tempat duduki pemain.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ypECcrBA
© Utusan Melayu (M) Bhd