ARKIB : 29/08/2008
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan
ternyata lebih berhak ke Piala AFC 2009 sebagai wakil kedua negara selepas
Kedah yang membolot tiga gelaran Liga Malaysia musim ini sekiranya berpandukan
Peraturan Pertandingan kejohanan itu bagi 2008 yang kali terakhir
dikemaskinikan, 23 Disember tahun lalu.
Malah, perkara ini disahkan
oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk
Azzuddin Ahmad, semalam yang merujuk Seksyen 3: Pasukan Yang Menyertai -
Perkara 24 (Pasukan Yang Layak) peraturan yang digubal Gabungan Bola Sepak Asia
(AFC) itu.
Beliau bagaimanapun tidak
tahu-menahu mengenai apakah ada mana-mana pegawai FAM pernah memaklumkan
Selangor yang kempunan Piala Malaysia kepada Kedah, Sabtu lalu, telah layak ke
Piala AFC 2009 menerusi status naib juara Piala FA, Jun lalu.
Ceraian (b) perkara itu
menyebut, "jika juara liga kebangsaan dan juara pertandingan kalah mati
merupakan pasukan yang sama, maka naib juara liga musim berkenaan dengan
pengesahan Jawatankuasa Pertandingan, layak bermain dalam pertandingan ini
(Piala AFC)."
Justeru Negeri Sembilan selaku
naib juara Liga Super musim 2007-2008 yang berakhir Mei lalu, akan mengulangi
penyertaan dalam Piala AFC yang juga persaingan bahagian dua kelab Asia selepas
Liga Juara-juara Asia (ACL) seperti 2007 di mana Si Rusa terkandas dan hanya
muncul naib juara Kumpulan D.
Utusan Malaysia semalam
melaporkan dakwaan pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim mengenai status
kelayakan pasukan kedua negara ke Piala AFC 2009 yang dikatakan mulanya
dimiliki Gergasi Merah sebagai naib juara Piala FA, Jun lalu setelah dikalahkan
Kedah 3-2.
Dia mempertikaikan berdasarkan
penyertaan Kedah dan Perak pada Piala AFC 2008 setelah naib juara Piala FA
tahun lalu, Perlis yang sepatutnya layak, menarik diri sekali gus melepaskan
hak itu kepada skuad Seladang.
Bagaimanapun, Selangor masih mampu
ke Piala AFC 2009 jika jawatankuasa pertandingan AFC memutuskan pindaan terbaru
pada syarat penyertaan pasukannya selain sekiranya Kedah yang bakal menentang
Al Muharraq (Bahrain) dalam suku akhir bulan depan, menjulang trofi berkenaan.
Ceraian (d) Perkara 24
Peraturan Pertandingan Piala AFC turut menyebut, "Sekiranya juara bertahan
Piala AFC sama seperti juara liga kebangsaan dan pertandingan kalah mati, maka
naib juara kedua-dua pertandingan itu layak mengambil bahagian."
Sebagai rekod Selangor juga
pernah ke Piala AFC 2006 selepas membolot Piala Malaysia, Piala FA dan Liga
Perdana, setahun sebelumnya namun sekadar singgah ke suku akhir setelah kalah
kepada sebuah pasukan yang terjejas akibat serangan Israel, Al Nejmeh dari
Lebanon.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4zwlv83pm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan