ARKIB : 28/08/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Kejaguhan Kedah
membolot gelaran Liga Super dan Piala FA dua musim berturut- turut sudah
menjamin tempatnya dalam Piala Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 2009 tetapi
posisi wakil kedua Malaysia ke persaingan kelab bahagian dua Asia itu masih
terawang-awang di antara Selangor dengan Negeri Sembilan.
Ia masih membingungkan pengurus
Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang mendakwa pernah diberitahu seorang pegawai
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa Gergasi Merah layak ke Piala AFC di
samping Kedah dengan tiket selaku naib juara Piala FA, Jun lalu.
"Alih-alih beberapa minggu
kemudian, kami diberitahu FAM bahawa Negeri Sembilan yang lebih layak ke Piala
AFC 2009 selaku naib juara Liga Super musim ini setelah kuota pertama bagi
juaranya turut dikuasai Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini,
semalam.
Menurut Zakaria, setahunya
penyertaan ke Piala AFC hanya terbuka kepada juara liga dan juara persaingan
kalah mati di sesebuah negara Asia dan jika kedua-duanya dibolot oleh sebuah
pasukan, naib juaranya yang akan mengisi baki slot tersebut.
"Saya juga mempertahankan
hak kelayakan Selangor itu jika berdasarkan penyertaan Piala AFC tahun ini yang
menurut susunan Kedah selaku juara Liga Super 2006-2007 dan Perak, naib juara Liga
Super musim itu. Apa pula kriteria kelayakan Negeri Sembilan?" tegas
pengurus pasukan sepenuh masa pertama di Malaysia itu.
Kata Zakaria yang menyandang
jawatan itu sejak Piala Malaysia, Jun lalu, Perlis - naib juara Piala FA musim
tersebut (tewas kepada Kedah) sepatutnya lebih layak ke Piala AFC tahun ini
tetapi dikatakan telah menarik diri lalu slot kedua itu diberikan kepada Perak.
Skuad Kenari dan Seladang akan
menentang Al Muharraq Bahrain dan Safa SC Lebanon masing-masing dalam suku
akhir Piala AFC 2008 pada 16 hingga 23 September ini (timbal balik) yang turut
berlangsung dalam bulan Ramadan.
Ia tampak seolah-olah slot
kedua pasukan Malaysia ke Piala AFC 2009 diberikan menurut keutamaan persaingan
iaitu naib juara Liga Super, Negeri Sembilan dianggap lebih layak daripada naib
juara Piala FA apabila dua gelarannya terikat milik Kedah.
Bagaimanapun hak penyertaan
mutlak sebarang pasukan Piala AFC sebenarnya masih terserah kepada jawatankuasa
pertandingan badan induk benua yang berpangkalan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur
itu dan FAM selaku ahli gabungan, pasti akan menurutnya sahaja.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4zwknm7Ad
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan