Isnin, 26 Jun 2017

Selangor jumpa naib juara 2005



ARKIB : 03/06/2006

KUALA LUMPUR - Juara tiga piala 2005, Selangor diundi menentang naib juara tahun lalu, Al-Nejmeh dari Lebanon dalam pusingan suku akhir bola sepak antara kelab Asia, Piala AFC, September ini.

Undian di Wisma AFC, Bukit Jalil, semalam, menetapkan perlawanan pertama dan keduanya pada 12 dan 19 September dan mungkin memaksa Selangor bergelut dengan jadual padat jika mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, 16 September.

Gergasi Merah yang dibimbing oleh Dollah Salleh dan menjulang Piala Malaysia, Liga Perdana dan FA 2005, bakal menentang Al Nejmeh yang tewas kepada Al Faisaly (Jordan), tahun lalu.

Sedikit kelebihan yang menyebelahi Selangor ialah mereka akan bermain di gelanggang sendiri, sama ada Stadium Nasional, Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam dalam perlawanan pertama suku akhir.

Selangor layak ke pusingan Piala AFC setelah menduduki tempat kedua Kumpulan F di belakang kelab Singapura, Tampines Rovers sementara Al Nejmeh mara sebagai juara Kumpulan D.

Kongsi Konten di

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l9qIQAtS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor ke suku akhir Piala AFC



 
ARKIB : 17/05/2006
TONGGAK Selangor, Brian Fuentes (dua dari kiri) diasak oleh pemain Hurriyah, Nadheem Hassan pada saingan bola sepak Piala AFC di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain tengah veteran, K. Sanbagamaran muncul wira Selangor apabila gol tunggalnya membawa juara Piala Malaysia itu melangkah ke suku akhir bola sepak Piala AFC selepas menundukkan wakil Maldives, Hurriyah 1-0 di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Walaupun gagal untuk mencari jaringan besar untuk membolehkannya muncul juara Kumpulan F, Selangor tetap berjaya meneruskan cabaran selaku antara dua pasukan terbaik daripada tangga kedua.

Gol Sanbagamaran pada minit ke-27 membantu Selangor mengutip tiga mata, dan muncul naib juara kumpulan dengan mengumpul 15 mata daripada lima perlawanan.

Sanbagamaran, 34, tidak diturunkan ketika Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara kumpulan, Tampines Rovers dari Singapura dua minggu lalu akibat penggantungan.

Hasrat Malaysia untuk mempunyai dua wakil pada peringkat suku akhir bagaimanapun tidak tercapai selepas Perlis gagal meneruskan cabaran setelah seri 0-0 dengan satu lagi kelab Maldives, New Radiant di Stadium Nasional, Male.

Keputusan tersebut meletakkan Perlis di tangga kedua Kumpulan E, di belakang kelab Hong Kong, Sun Hei yang menumpaskan Home United dari Singapura 2-0.

KEPUTUSAN

Kumpulan E

New Radiant (Mdv) 0 Perlis 0

Home United (Sin) 0 Sun Hei (Hkg) 2

Kumpulan F

Selangor (Mas) 1 Hurriyah (Mdv) 0

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l64POrf9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 Jun 2017

Selangor kalah, Perlis menang



 ARKIB : 03/05/2006

KUALA LUMPUR - Selangor hilang tampuk penguasaan dalam Kumpulan F bola sepak Piala AFC selepas tumpas 3-2 kepada Tampines Rovers di Stadium Tampines di Singapura, semalam.

Sementara satu lagi wakil Malaysia, Perlis terus bertahan dalam Kumpulan E selepas mengatasi satu lagi kelab Singapura, Home United 1-0 di Stadium Utama, Kangar.

Selangor yang sebelum ini menguasai carta kumpulan, hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tempat ke suku akhir tetapi kekalahan itu menyulitkan mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Kemenangan Tampines Rovers melonjakkan kelab dari Singapura itu di tangga teratas kumpulan dengan 12 mata selepas lima perlawanan, berkongsi mata dengan Selangor tetapi memiliki lebih gol.

Selangor kini perlu menang dengan jaringan yang besar pada perlawanan terakhir mereka menentang kelab dari Maldives, Hurriyah 16 Mei ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk muncul juara kumpulan sambil mengharapkan Tampines Rovers tewas atau seri dengan kelab Hong Kong, Happy Valley di tempat lawan.

Selangor yang menang 1-0 ke atas Tampines Rover pada pertemuan pertama mereka 7 Mac lalu, ketinggalan 2-0 selepas sejam permainan menerusi dua gol jaringan Peres De Oliveira pada minit ke-32 dan 51. Penyerang Red Giants dari Indonesia, Bambang Pamungkas merapatkan kedudukan pada minit ke-57.

Bagaimanapun Tampines pantas melebarkan kedudukan 3-1 hasil gol jaringan Mirko Grabovac empat minit kemudian.

Bambang kembali memberi harapan kepada Selangor apabila sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Di Kangar, Phillimon Chipeta menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-74 untuk memberi tiga mata kepada Perlis.

Singa Utara kini mengumpul 10 mata dan perlu menang pada perlawanan terakhir menentang New Radiant di tempat lawan 16 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l50PPrlG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor, Perlis bertambah cerah



ARKIB : 13/04/2006

KUALA LUMPUR - Dua wakil negara, Selangor dan Perlis berpeluang cerah untuk menempatkan diri ke peringkat suku akhir kalah mati dalam kejuaraan bola sepak Piala AFC buat kali pertama.

Sesudah musim lalu dua wakil negara diterajui oleh Perak dan Pahang rebah awal di peringkat kumpulan dan prestasi cemerlang Perlis dan Selangor setakat ini memungkinkan kemaraan ke suku akhir menjadi kenyataan.

Selepas tiga perlawanan dilalui Perlis mengungguli Kumpulan E mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Begitu juga dengan Selangor yang masih terumbang ambing dalam saingan Liga Super menduduki tangga teratas Kumpulan F apabila menang kesemua tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata.

Kini peluang kedua-dua wakil negara untuk ke suku akhir kian cerah jika menang dua daripada tiga baki perlawanan yang tinggal.

Dalam perlawanan kelmarin, Perlis sekadar seri 0-0 dengan kelab dari Hong Kong, Xianxue Sun Hei di Stadium Mongkok.

Selangor pula memahatkan kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Happey Valley 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Ketinggalan 0-1 di babak pertama jaringan Evanor Joao Fantin pada minit ke-14, Selangor tangkas bangkit garang menerusi jaringan Shukor Adan (m-42) disusuli ledakan D. Surendren (m-52) untuk mendahului 2-1.

Dua gol lagi membolosi gawang pelawat jaringan Brian Fuentes (m-64, m-68) sebelum Happy Valley merapatkan jurang menerusi jaringan Fabio Alcantara (m-71) dan Wai Man Lee (m-87) tetapi tidak berupaya menghalang Selangor menang 4-3.

Perlis dan Selangor setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Perlis akan mengharungi tiga baki perlawanan iaitu dua perlawanan di tempat sendiri menentang Xiangxue Sun Hei di Stadium Utama pada 25 April diikuti bertemu Home United dari Singapura (2 Mei) dan berdepan New Radiant di Maldives (16 Mei).

Selangor pula bermain dua perlawanan di tempat lawan menentang sekali lagi Happy Valley di Stadium Mongkok (25 April), Tampines Rovers di Stadium Tampines (2 Mei) dan perlawanan terakhir di tempat sendiri bertemu Hurriyah dari Maldives (16 Mei).

Jika layak ke suku akhir kalah mati tugas berat menanti kedua-dua pasukan yang akan berdepan dengan pasukan elit seperti kelab-kelab dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Iraq, Jordan dan UAE.

Bukan tugas mudah buat Perlis dan Selangor jika layak ke suku akhir diundi berdepan dengan kelab-kelab elit dari Timur Tengah

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l1utDfKG
© Utusan Melayu (M) Bhd