ARKIB : 22/03/2006
KUALA LUMPUR - Selangor dan
Perlis meneruskan kecemerlangan apabila masing-masing memahatkan kemenangan
kedua dalam saingan Piala AFC semalam.
Selangor mencatat kemenangan
selesa menewaskan kelab dari Maldives, Hurriya SC 3-1 dalam perlawanan Kumpulan
F di Stadium National di Maldives.
Manakala Perlis pula membelasah
satu lagi kelab dari Maldives, New Radiant 6-0 dalam saingan Kumpulan E di
Stadium Utama Negeri, Kangar.
Selangor sebelum ini menewaskan
Tampines Rovers dari Singapura 1-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional
Bukit Jalil, 7 Mac lalu.
Biarpun Selangor masih
menduduki tangga terbawah Liga Super namun kemenangan ke atas Hurriya SC
mencerahkan laluan skuad Merah Kuning untuk ke suku akhir buat pertama kali.
Tiga gol menerusi trio
Selangor, Brian Fuentes, Ellie Aiboy dan Bambang Pamungkas sudah cukup
memastikan kemenangan milik Selangor.
Selangor selepas ini akan
menentang wakil dari Hong Kong, Happy Valley di Stadium Nasional Bukit Jalil
pada 11 April ini.
Di Stadium Utama Kangar, Perlis
mencatat kemenangan berpesta gol apabila membelasah New Radiant 6-0.
Jaringan hatrik penyerang import,
Philimon Chepita pada minit ke-48, 71 dan 76 meranapkan terus harapan New
Radiant untuk meraih kemenangan pertama.
Tiga gol lagi menyusul menerusi
Zachariah Simukonda (m-54, m-65) manakala ketua pasukan, Manzoor Azwira Abd.
Wahid pada minit ke-45.
Kemenangan buat Perlis adalah
yang kedua apabila sebelum ini mereka menewaskan wakil dari Singapura, Home
United 3-2 di tempat lawan.
Selepas ini Perlis kelab dari
Hong Kong, Xiangxue Sun Hei di Stadium Mongkok 11 April ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koZMNvaN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan