Ahad, 25 Jun 2017

Selangor bertekad atasi Happy Valley



ARKIB : 11/04/2006

Oleh AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Selangor bertekad untuk memahatkan kemenangan ketiga buat mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya apabila berdepan dengan kelab dari Hong Kong, Happy Valley dalam saingan Piala AFC Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Walaupun prestasi Selangor terumbang-ambing dalam saingan Liga Super menduduki tangga terakhir namun skuad Merah Kuning tetap menaruh harapan di Piala AFC.

Juara Piala Malaysia musim lalu itu menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut ke atas Tampines Rover dari Singapura 1-0 dan kelab dari Maldives, Hurriyah 3-1.

Kini peluang terbaik buat skuad Merah Kuning untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mengharungi perlawanan ketiga berdepan dengan naib juara Liga Hong Kong musim lalu, Happy Valley.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui prestasi skuad bimbingannya tidak menentu tetapi pada masa yang sama menyifatkan pasukannya semakin menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, kekalahan 1-0 kepada Pahang Sabtu lalu tidak sama sekali menjejaskan rentak permainan Selangor apabila berdepan dengan Happy Valley.

``Menentang kelab Hong Kong saya akan menurunkan kesebelasan terbaik termasuk Ellie Aiboy yang tidak beraksi dengan Pahang.

``Matlamat utama adalah untuk menang memandangkan Selangor sedang menduduki tangga teratas Kumpulan F dan kemenangan dengan Happey Valley akan mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di sini, semalam.

Dollah tidak menafikan berdepan dengan wakil dari Hong Kong itu bukan tugas mudah buat Selangor.

``Mereka ada lapan pemain kebangsaan Hong Kong selain empat bintang import yang berkualiti dan Selangor akan cuba memberikan tentangan sengit,'' ujarnya lagi.

Ujarnya, walaupun pasukan itu kini sekadar mengutip tiga mata dan menduduki di tangga kedua.

Sementara itu jurulatih Happy Valley, Michael Sek berkata, beliau tetap menghormati Selangor walaupun belum pernah bertemu sebelum ini.

Menurutnya, beliau mengharapkan sentuhan lapan pemain kebangsaan Hong Kong selain dibantu penjaring terbanyak Liga Hong Kong iaitu Fabio Alacantara dari Brazil untuk merobek gawang Selangor.

``Selangor menang ke atas Tampines dan Hurriyah dan saya sifatkan mereka adalah pasukan yang kuat,'' ujarnya.

Buat Michael beliau tidak rela Happy Valley tewas buat kali kedua selepas menerima kejutan tewas 3-1 kepada Tampines Rovers.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4l1ggOqkG© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan