ARKIB : 13/04/2006
KUALA LUMPUR - Dua wakil
negara, Selangor dan Perlis berpeluang cerah untuk menempatkan diri ke
peringkat suku akhir kalah mati dalam kejuaraan bola sepak Piala AFC buat kali
pertama.
Sesudah musim lalu dua wakil
negara diterajui oleh Perak dan Pahang rebah awal di peringkat kumpulan dan
prestasi cemerlang Perlis dan Selangor setakat ini memungkinkan kemaraan ke
suku akhir menjadi kenyataan.
Selepas tiga perlawanan dilalui
Perlis mengungguli Kumpulan E mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu
seri.
Begitu juga dengan Selangor
yang masih terumbang ambing dalam saingan Liga Super menduduki tangga teratas
Kumpulan F apabila menang kesemua tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata.
Kini peluang kedua-dua wakil
negara untuk ke suku akhir kian cerah jika menang dua daripada tiga baki
perlawanan yang tinggal.
Dalam perlawanan kelmarin,
Perlis sekadar seri 0-0 dengan kelab dari Hong Kong, Xianxue Sun Hei di Stadium
Mongkok.
Selangor pula memahatkan
kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Happey Valley 4-3 di Stadium
Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Ketinggalan 0-1 di babak
pertama jaringan Evanor Joao Fantin pada minit ke-14, Selangor tangkas bangkit
garang menerusi jaringan Shukor Adan (m-42) disusuli ledakan D. Surendren
(m-52) untuk mendahului 2-1.
Dua gol lagi membolosi gawang
pelawat jaringan Brian Fuentes (m-64, m-68) sebelum Happy Valley merapatkan
jurang menerusi jaringan Fabio Alcantara (m-71) dan Wai Man Lee (m-87) tetapi
tidak berupaya menghalang Selangor menang 4-3.
Perlis dan Selangor setakat ini
masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
Perlis akan mengharungi tiga
baki perlawanan iaitu dua perlawanan di tempat sendiri menentang Xiangxue Sun
Hei di Stadium Utama pada 25 April diikuti bertemu Home United dari Singapura
(2 Mei) dan berdepan New Radiant di Maldives (16 Mei).
Selangor pula bermain dua
perlawanan di tempat lawan menentang sekali lagi Happy Valley di Stadium
Mongkok (25 April), Tampines Rovers di Stadium Tampines (2 Mei) dan perlawanan
terakhir di tempat sendiri bertemu Hurriyah dari Maldives (16 Mei).
Jika layak ke suku akhir kalah
mati tugas berat menanti kedua-dua pasukan yang akan berdepan dengan pasukan
elit seperti kelab-kelab dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Iraq, Jordan
dan UAE.
Bukan tugas mudah buat Perlis
dan Selangor jika layak ke suku akhir diundi berdepan dengan kelab-kelab elit
dari Timur Tengah
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l1utDfKG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan