Ahad, 25 Jun 2017

Selangor kalah, Perlis menang



 ARKIB : 03/05/2006

KUALA LUMPUR - Selangor hilang tampuk penguasaan dalam Kumpulan F bola sepak Piala AFC selepas tumpas 3-2 kepada Tampines Rovers di Stadium Tampines di Singapura, semalam.

Sementara satu lagi wakil Malaysia, Perlis terus bertahan dalam Kumpulan E selepas mengatasi satu lagi kelab Singapura, Home United 1-0 di Stadium Utama, Kangar.

Selangor yang sebelum ini menguasai carta kumpulan, hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tempat ke suku akhir tetapi kekalahan itu menyulitkan mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Kemenangan Tampines Rovers melonjakkan kelab dari Singapura itu di tangga teratas kumpulan dengan 12 mata selepas lima perlawanan, berkongsi mata dengan Selangor tetapi memiliki lebih gol.

Selangor kini perlu menang dengan jaringan yang besar pada perlawanan terakhir mereka menentang kelab dari Maldives, Hurriyah 16 Mei ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk muncul juara kumpulan sambil mengharapkan Tampines Rovers tewas atau seri dengan kelab Hong Kong, Happy Valley di tempat lawan.

Selangor yang menang 1-0 ke atas Tampines Rover pada pertemuan pertama mereka 7 Mac lalu, ketinggalan 2-0 selepas sejam permainan menerusi dua gol jaringan Peres De Oliveira pada minit ke-32 dan 51. Penyerang Red Giants dari Indonesia, Bambang Pamungkas merapatkan kedudukan pada minit ke-57.

Bagaimanapun Tampines pantas melebarkan kedudukan 3-1 hasil gol jaringan Mirko Grabovac empat minit kemudian.

Bambang kembali memberi harapan kepada Selangor apabila sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Di Kangar, Phillimon Chipeta menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-74 untuk memberi tiga mata kepada Perlis.

Singa Utara kini mengumpul 10 mata dan perlu menang pada perlawanan terakhir menentang New Radiant di tempat lawan 16 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l50PPrlG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan